Thursday, April 4, 2013

Mummy, engkaulah ratu hatiku.


.... " Izinkan mummy pergi ke tempat yang lebih sempurna, kerana Allah s.w.t lebih menyanyanginya", kata-kata terakhir yang diucap abang sulong arwah ibunya 15 tahun lalu.  
sambil menangis teresak-esak, dalam terpaksa Dhia merelakan pemergian ibunya ke rahmatullah. 

Detik 25 Disember 1998, dan ketika itu dia dan empat adik-beradiknya yang lain masih belum mengerti apa-apa. 

Apatah lagi untuk menerima ketiadaan seorang insan yang bergelar ibu kandung.

Ketiadaan ibu kandung atau dipanggil Mummy oleh Dhia dan adik-beradiknya nyata memberi tamparan hebat buat Dhia, ketika itu, usianya baru sebelas tahun, sebagai kakak sulong, baginya begitu berat memikul tanggungjawab itu. Menyedari hanya dia yang ketika itu sudah mengerti bahawa mereka kini tidak punyai insan yang bergelar ibu. 


Saat itu, ayahnya yang masih keliru dan terkejut dengan pemergian isteri tersayang, sama sekali tidak pernah menduga isterinya itu menghidap Hepatitis B, jelas terpamer wajah sugul tatkala melihat isteri kesayangan menutup mata. 

Tanggungjawab menjaga lima anak yang dahulu dilakukan bersama isteri tercinta kini terpaksa digalas beliau seorang diri. Apatah lagi anaknya yang paling bongsu, ketika itu berusia sembilan bulan, masih dalam menyusu badan. 

Nyata, ketabahan seorang bapa teruji setiap kali mendengar bunyi tangisan anak kecil di subuh hari. Tangisan kelaparan serta ketandusan belaian seorang ibu. Tiap kali adiknya menangis, Dhia pastinya menangis. Dan saat itu, hatinya tersentuh melihat kesanggupan ayahnya yang membancuh susu formula untuk diberikan kepada adik bongsunya. 


Paling Dhia ingat, ketika dia mula-mula datang "bulan", ayahnya menjadi rujukan dalam Dhia mengetahui cara-cara menyucikan "haid" itu, saat itu, perasaan malu ditolak tepi,dan masih terbayang wajah ayahnya yang sedia maklum anaknya semakin meningkat dewasa. Dhia tahu, ketika itu, ayahnya cukup mengharapkan adanya insan tercinta di sisinya, melihat anak-anaknya membesar. 


Kini, semuanya berlalu, Dhia semakin matang dalam mengharungi hidupnya, malah adik-adiknya semakin membesar, ada yang masih belajar di IPT, dan masih bersekolah. Doa Dhia, moga adik-adiknya tidak pernah lupa asal usul dan menjadi manusia berguna kelak. 


Namun, segala kenangan 15 tahun lalu, masih segar dalam ingatan Dhia, kenangan Dhia dan adik-adik bergurau senda dengan arwah mummynya, kenangan dibelai, dan dimanjakan ketika kecil, bermain "sorok"sorok" dengan arwah ibunya, mengaji Quran bersama-sama, semua itu menjadikan Dhia seorang yang matang dalam menghadapi hidup yang mendatang. 


Pengalaman sebagai anak yatim, nyata menjadikan Dhia seorang yang lebih dewasa, malah lebih sensitif terhadap perkara sekeliling. 


Kini, Dhia mengerti, setiap dugaan yang berlaku, pasti ada hikmahnya, "kehilangan" arwah mummynya memberi pengajaran sebuah erti kehidupan yang sebenar. 


Kepada mummy, Doa Diana dan adik-adik sentiasa untuk Mummy. 

Semoga mummy tenang di sana. Nanti kita jumpa :) 
Kasih sayang mummy walaupun hanya untuk waktu yang singkat, tetap Diana ingat sampai mati. Dan bila Diana ada anak nanti, Diana akan "ajar" anak Diana sepertimana Mummy ajar Diana. InsyaAllah. 

Diana sayang mummy. terlalu rindukan mummy.  



2 comments:

Anonymous said...

takziah..dr bekas jiran...bru tau deme jd wartawan..tgk breta n teringt akn nama tersebut..google jmpa blog ni..ambe adi..rumah 216 tmn desa putra...

Diana Alim said...

terima kasih.